TEMUBUAL

Biodata Penulis :
Herman Abdullah adalah lulusan Masters in Communication Management dari University of South Australia (UniSA) dan ijazah Teknologi Maklumat dari University of Central England (UCE) di Birmingham, United Kingdom. Terlibat dalam aktiviti kebudayaan dan minat mengkaji sejarah realiti bangsa Melayu dan kemasukan Islam ke Alam Melayu semenjak dibangku sekolah rendah lagi sehingga ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Simpang Lima, Sungai Besar sebelum ke Sekolah Menengah Agama Maahad Hamidiah, Kajang. Penulis sekarang berkhidmat di sebuah organisasi bukan kerajaan dan sering keluar negara bagi tujuan fotografi dan dokumentasi untuk tujuan bantuan kemanusiaan.

PETIKAN TEMUBUAL BERSAMA PENULIS
SOAL : Boleh Tuan kongsikan secara ringkas mengenai buku ini dan kandungannya?

PENULIS : Buku ini mengenai 'Ekspedisi Jejak Warisan Jawi 1-2-3' yang berkisar tentang kewujudan orang Melayu di Benua Melayu dan bagaimana keadaan mereka hari ini.

Apa yang saya cuba kongsikan kepada pembaca dan peminat-peminat buku tanahair adalah bukti-bukti empirikal yang bahawasanya memang wujud orang Melayu di Benua Melayu yang hari ini menjadi minoriti sahaja.

SOAL : Bagaimana tercetusnya idea untuk menerbitkan buku ‘Kias Tersirat’ yang memaparkan kisah perantauan bertemu Melayu dan Islam di Dunia Melayu Benua ini?

PENULIS : Idea ini, ia adalah sebuah fotojurnal dan juga refleksi, sebab masa saya berjalan itu saya melihat, jika kita berjalan sahaja tanpa membawa balik bukti sejarah ataupun sebagainya makanya perjalanan itu akan menjadi sia-sia, jadi adalah menjadi tanggungjawab kepada diri saya sendiri untuk menyampaikan maklumat yang penting ini kepada orang Melayu di Semenanjung Malaysia, jadi sebab saya yakin, ramai yang tidak tahu ada orang Melayu di bumi Melayu sana, dan bagaimana keadaan mereka sebenarnya, jadi dengan foto-foto yang saya bawa balik ini, menjadi satu bukti emperikal, sebagai buktinya yang nyata menunjukkan bahawa adanya orang Melayu dan keadaan mereka itu perlukan satu perhatian, yang bagi saya seriuslah, sebagai orang Melayu di Malaysia yang hari ini hidup agak senang lenang, selesa, tapi bagaimana dengan saudara mara kita di sebelah sana tu? Yang itu saya cuba tunjuk, dan bawakan kepada masyarakat di Malaysia, saya cuba kongsikan.

SOAL : Katanya baka Melayu ada di merata tempat ya, bukan setakat di Nusantara, di Burma pun ada, mereka cakap bahasa kita kah atau Melayu mereka lain sikit, jadi macamana?

PENULIS : Ok eh, kalau kita di Champa sana tu, mereka ada loghat mereka sendiri, tapi teras bahasa mereka tu, adalah bahasa Melayu, mereka faham bahasa Melayu, contoh di Laos, mereka ada bahasa, tetapi teras bahasa itu adalah bahasa Melayu, serupa juga di Burma, teras bahasa adalah bahasa Melayu, jadi bahasa Melayu ini difahami oleh orang Melayulah keseluruhannya, adalah satu bahasa yang wajib yang mereka tahu, contohnya di Indonesia pun sama, kalau mereka ada loghat-loghat, ada seribu jenis loghat, tetapi bahasa Melayu itu tetap mereka fahami.

SOAL: Bolehkah Tuan terangkan apakah maksud ‘Kias Tersirat’ yang dipaparkan dalam buku ini, macamana boleh terdetik untuk memilih tajuk yang sangat dalam ni?

PENULIS : Orang Melayu ni sebenarnya satu bangsa yang tidak ‘direct to the point’, contohnya ‘melentur buluh biar dari rebung’, ‘alang-alang menyeluk perkasam biar sampai pangkal lengan’, maka benda tu semua bukannya ‘direct’, cakapnya berlapik dan berkias, tapi orang Melayu lebih senang faham jika kita mengunakan ayat-ayat sebegitu dan bidalan-bidalan sebegitu, maknanya lebih tepat dan menjaga air muka, sebab dalam ni saya ada kritiks, ada tegur, ada bagi hasrat, ada harapan dan sebagainya, jadi dalam perkara itu secara tersirat saya menyampaikan dengan cara orang Melayu, saya yakin orang Melayu cukup cerdik untuk faham apa yang saya cuba sampaikan. Jadi tersirat itu maknanya tersembunyi, tak pergi ‘direct’, ‘direct’ tu bukan cara Melayu. Jadi saya berkias dalam keadaan yang tersirat contohnya, gambar muka surat 30, ada gambar sangkar burung dan backgroundnya gambar orang, maksudnya, walaupun sebenarnya mereka nampak bebas tetapi sebenarnya mereka terkurung, haa begitulah keadaannya orang-orang Melayu di Thailand, sebab mereka ini, minta maaf cakap, jika ikut perjanjian Anglo-Siamese 1909 itu mereka ini adalah dijajah, sebabnya kawasan Segenting Kra sampai Perlis tu kawasan Melayu, jadi memang ada bukti yang mengatakan begitu, jadi mereka ini adalah orang Melayu yang dijajah oleh bangsa lain di Thailand. Makanya bukan satu perkara yang dongeng malah realiti, gambar ini memaparkan begitu, walaupun mereka nampak bebas tetapi mereka tidak boleh menggelarkan diri mereka Melayu, terpaksa menggelarkan diri mereka Thai Muslim, dan bahasa Melayu itu tidak diamalkan di sana, kecuali tulisan Jawi.

SOAL : Sejarah Barus dalam ruangan ‘Sisipan Tambahan’ ini, apa yang boleh kita kongsikan tentang bandar tua Barus?

PENULIS : Barus ini, kita tahu ‘Kapur Barus’,  yang digunakan untuk mandi jenazah, satu pewangi, tetapi sebenarnya Kapur Barus itu sudah dikenali sejak zaman firaun lagi, maknanya 5000 tahun sebelum masehi kalau ikut sejarah, dan bandar itu sendiri menjadi pusat perdagangan, kota, antara kota yang tertua di nusantara ini, jadi saya memang minat untuk ke Barus semenjak mula-mula saya menghasilkan buku ini sebab setelah saya diberikan maklumat oleh salah seorang kawan saya yang mengatakan "kalau kita mahu mencari sejarah Islam itu baik kita pergi ke pangkalnya" maka pangkalnya itu adalah di Barus. Jadi setelah saya membuat kajian dan saya dapati bahawasanya di Barus ini terdapat makam-makam lama iaitu makam para sahabat, maknanya yang datang ke sini, menyebarkan agama Islam itu sewaktu Nabi Muhammad SAW itu masih hidup. Maknanya mereka ini datang seawal membawa kalimah tauhid itu seawal itu ke Nusantara ini, ke Alam Melayu ini. Jadi Barus itulah pusatnya, jadi bila saya ke sana saya dapati bahawa makam-makam itu masih ada terpelihara cuma belum dibuat eksavasi atau carian arkeologi secara meluas. Saya yakin, jika dibuat carian arkeologi, selain makam-makam yang ditemui kita akan dapati makam-makam lain, banyak di Barus, maka di situlah pangkalnya Islam masuk ke Nusantara, zaman Rasulullah saw.

Jadi teori Snoucke Hurgonje yang mengatakan Islam itu datang dari India itu terbantah dengan sendirinya. Jadi bagi saya Barus itu amat pentinglah untuk dikaji oleh peminat-peminat sejarah realiti yang cuba mencari bila mulanya Islam itu sampai ke Nusantara. Secara tegas saya ingin katakan di sini bahawasanya ia datang sewaktu Nabi Muhammad SAW itu masih hidup.

SOAL : Saya dimaklumkan Tuan sendiri telah merantau ke beberapa buah negara di benua Asia Tenggara melalui Ekspedisi Jejak Warisan Jawi, boleh Tuan kongsikan perkara yang paling tidak dapat dilupakan dan diingati sehingga kini berlaku sepanjang ekpedisi tersebut?

PENULIS : Saya tidak lupakan seluruh perjalanan ini, cuma apabila berada di Ang Gian, Vietnam, setelah kami menyampaikan zakat dari Malaysia dan mempertontonkan kembali persembahan kompang, marhabban dan kebudayaan Melayu kepada penduduk di sana yang kebudayaan Melayu contohnya seperti gendang Ma In Pah Bana telah pun dilupakan dan diganti dengan drums, maka sebelum kami berangkat pergi meninggalkan kampung tersebut, mereka mengatakan "Jangan Lupakan Kami!" Maka saya kongsikan ayat itu di dalam buku ini supaya pesan itu sampai ke seluruh umat Melayu di Nusantara ini dan tidak melupakan saudara mara se Islam kita di sana.

SOAL : Apakah yang mendorong Tuan untuk menghasilkan buku seperti ini? 

PENULIS : Bagi saya orang Melayu ini akan hilang jati diri jikalau mereka melupakan Islam. Islam dan Melayu tidak dapat dipisahkan. Jadi yang jadi kuatnya orang Melayu itu disebabkan jatidiri dia, yang jadi kuat orang Melayu di negara-negara yang kita pergi itu disebabkan mereka masih mengamalkan Islam, jadi penting ilmu tauhid, fekah, tasawuf itu, kitab-kitab yang diajarkan oleh ulama-ulama terdahulu itu, itulah yang menjadi benteng pertahanan bila digasak-gasak kiri dan kanan oleh orang-orang bukan Islam tadi tu.

Jadi sepatutnya orang Malaysia sendiri mengambil iktibar kan perkara itu dan terus mengambil ilmu yang disusurgalurkan oleh ulama-ulama terdahulu supaya orang kita hari ini punya satu benteng pertahanan diri, supaya ilmu-ilmu itu dapat menjadi penapis segala unsur-unsur nilai-nila negatif yang cuba diserapkan kepada orang kita. Jadi, kalau takde penapis itu tadi kita akan hanyut dibawa arus tsunami yang makin hebat melanda orang Melayu hari inilah.

Saya suka nak quote Snoucke Hurgonje, seorang Belanda yang murtad yang duduk di pedalaman Aceh selama 2 tahun mengkaji kekuatan Aceh. Akhirnya dia dapati kekuatan Aceh itu kerana kesatuan Ulama, hulubalang dan pemerintah. Bila dipisahkan kesatuan itu maka lemahlah Aceh. Begitu juga di Terengganu bila Sultan Zainal Abidin memanggil Tok Ku Paloh untuk berhadapan dengan Inggeris. Jadi ulama-ulama ini menguasai, yang penting ilmu tauhid, 'Lailaha illa Allah Muhammad Rasulullah' itu yang dia pegang. Kalau kita tidak mengambil peluang atau kalau kita jauh daripada ilmu-ilmu ini tadi makanya memang senanglah anasir-anasir penjajah, pemikiran-pemikir baharu yang hendak merosakkan orang Melayu dan Islam itu sendiri mudah datang, sebab buktinya itu ada ulama itu yang mempertahankan agama dan jugak tanah airnya. Sumber ilmu itu kitab-kitab Jawi, bila kita buang kitab-kitab itu makanya kita akan semakin jauh, jadi apa yang ada? apa yang tinggal untuk orang Islam hari ini? Tidak ada apa, begitu.

SOAL : Pada pendapat Tuan, siapakah yang perlu memiliki buku ini dan apakah harapan Tuan untuk buku kias tersirat ini?

PENULIS : Jadi, sejujurnya, buku ini seharusnya dimiliki oleh seluruh orang Melayu yang ada di dunia. Sebab kalau kita di sini eh, orang Melayu di Champa tak tahu pun ada orang Melayu di Kemboja, orang Melayu di Kemboja tak tahu pun ada orang Melayu di Thailand, maka jika buku ini disampaikan kepada mereka, maka baru terbukalah jendela fikiran mereka yang eh! aku ada sedara di Thailand, Nusantara....jadi penting, buku ini sebagai pemangkin terhadap kesatuan Melayu seluruh dunia. Diaspora Melayu itu cukup besar. Itu dia.

SOAL : Uniknya Melayu pada pengamatan penulis kerana apa?

Uniknya Melayu itu kerana mereka belajar mengambil bidalan daripada alam. Contohnya orang putih kata, ‘you can't compare an apple to an orange’, tapi kalau bagi tahu pada orang Melayu dia tak paham, sebab dia tak ada buah orange tak ada buah apple, jadi kalau nak compare orang Melayu ni, compare ‘an orange to a durian’, jadi orang Melayu paham rasa durian itu lebih daripada apple, jadi baru boleh faham…

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .


Setiap pembelian buku ini melalui WarisAlam
merupakan sumbangan ke Tabung Projek 
JEJAK WARISAN JAWI


DAPATKAN BUKU INI SEGERA

RM 85.00 setebal 320 halaman dan melebihi 230 foto berwarna.